Terbitnya Mentari,
Lenyaplah malam,
Penglihatan hati,
Menjangkaui batasan alam.
Melihat tingkahlaku jiwa manusia sangat luar biasa kekaguman terhadap Allah,pemilik segala yang tinggi di langit dan jauh di dasar lautan.
Ragam dan gelagat insan membawa kepada seribu satu tafsiran.Nikmat yang tidak terkira apabila kita dapat melihat dan merasa jiwa-jiwa manusia.
Memahami jiwa-jiwa milik Allah merupakan suatu anugerah dan tanda keagunganNya.Banyak yang telah diketemu sepanjang perjalanan usia ini di setiap persimpangan kehidupan.
Walau banyak hati yang telah ditemui,masih banyak yang tidak diri ini fahami.Memilih untuk berada di atas jalan ketentuan Ilahi memberi pelbagai persoalan dan tanda tanya ke atas setiap satu tingkahlaku manusia itu sendiri.
Alangkah hebatnya kuasa Allah kerana dengan satu pandangan mata antara dua manusia,beribu rasa dan kata dikongsi bersama.
Kadangkala kemusykilan itu timbul kerana apakah sama apa yang kita tafsirkan seperti apa yang insan itu fikirkan...
Sampaikah pula apa yang cuba kita sampaikan kepadanya...
Tanpa sepatah kata,sejauh mana hati kita dapat menafsir pandangan mata...
Tidak semua yang kita fikirkan mampu diterjemah ke dalam bentuk lisan dan kerana itu setiap satu pandangan membawa makna yang tinggi nilainya.
Ruginya kita jika kita terus membeku dan membatu dari menjadi lebih peka terhadap jiwa sekeliling kita.Banyak rasa dan perkara yang boleh dikongsi bersama,cuma tidak semuanya keluar dalam bentuk kata-kata.
Lihat jauh ke dalam diri manusia dan selamilah hati mereka....Dengan izin Allah kita akan ketemu kuasa dan kebesaran Allah yang maha kuasa.
Jangan dibiar pergi mereka yang pernah dan masih di sisi kerana masa hadapan itu bukan satu kepastian untuk kita terus bersama.
Jalan Allah itu benar dan indah dengan sulaman kasih sayang... :)
No comments:
Post a Comment